Thursday, February 19, 2009

Cuba untuk menulis cerpen...ada bakat tak?

Cuba untuk menulis cerpen untuk dimskkan dalam buku penerbitan Majlis Guru Cemerlang. bacalah...ada bakat tak??
Tajuk : Seraut kasih, selautan madu....

Sekali lagi aku tersentak apabila Tn. Pengetua, Tn. Hj. Razali berhujah lagi dalam mesyuarat guru lebih 14 tahun lalu semasa aku bertugas di SMK. Dato’ Ahmad Maher, ” Kalau nak mengajar jantung tu, biarlah budak boleh explain tentang apa saja mengenai jantung sebelum cikgu ajar tajuk tu. Jadi cikgu kena buat sesuatu biar budak-budak baca buku ”. Semua mata memandang ke arahku. Lagi-lagi biologi, lagi-lagi bio, bengang jugak aku. Apa harus aku lakukan. Sekali fikir betul jugak kata pengetua aku, budak boleh terangkan dan budak baca dulu!. Tak lah penat dok bersyarah kat depan, syok sendiri sudahnya, budak belum pasti faham!.

Hari demi hari berlalu pergi, persoalan yang sama berlegar di kotak mindaku yang baru 6 tahun dilantik sebagai Guru Penolong dan ditugaskan mengajar Biologi tingkatan 4, 5 dan Sains Teras tingkatan 4, 5. Macam mana budak boleh terangkan hal jantung, nak terangkan apa? Binaan ke ? Fungsi ke ?, Mekanisme denyutan jantungkah ? Kalau suruh baca pun nak baca apa? Selalu pun aku suruh baca tapi esoknya aku soal tak tahu jugak. Susahnya jadi cikgu bio pada abad 20-an ni !! . Dulu rata-rata orang kata bio mudah, mudah hafal dan tidak sukar dijawab. Sekarang dah lain, lain sangat. Soalan Biologi SPM 4551 paling banyak menguji tahap tinggi aplikasi, sintesis dan menilai seperti kata Bloom. Aku perhatikan pelajar pun ada jugak menunjukkan perlakuan menyakitkan hati aku., suka tengok kat luar, jasad saja depan aku tapi otak entah ke mana-mana. Adakah mereka tak minat belajar biologi? Kalau dah tak minat, sudah pasti result periksa dia orang pun rendah. Result bio sekolah pun boleh lingkup. Sia-sia aku jadi cikgu kalau aku tak buat sesuatu. Azam aku ... jantung pengetuaku, aku gegarkan!!

Tekad dan iltizamku kembali berbunga. Makmal Biologi jadi saksi, aku bersama rakan guru biologiku, cikgu Da ... rakan sejatiku, apa nak buat?. Masing-masing memerah otak, sesekali mataku terpaku pada sekeping gambar jantung di bilik persediaan... jadi sumber inspirasi kami. Chupp! Eureka !! Idea dah tiba ... Lantas aku serakkan di atas meja - buku teks biologi pelbagai penerbit, pelbagai buku rujukan, sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran. Kami perlu bagi ’guide’ pada pelajar apa benda nak baca dan nak tulis. Ia perlu diberi dalam bentuk soalan-soalan yang berupa rangsangan bagi pelajar bergerak balas dengan menggunakan buku rujukan di luar masa sekolah. Ibarat kalau nak suruh orang yang tak tahu masak kena bagi resepi, sekurang-kurangnya dapat makan walau tak sedap!. Pastinya soalan yang akan ku bina mestilah akur huraian sukatan pelajaran dari aras mudah kepada aras sukar. Nampaknya menjadi betul sesi sumbangsaran kami. Betullah orang kata, 2 otak lebih baik dari 1 otak !!.

Aku mula menjalankan kerjaku –membina soalan-soalan rangsangan sedikit demi sedikit dan disediakan dalam bentuk lembaran kerja. Kata arahan dan tugasan soalan mesti jelas agar pelajar mudah menyediakan jawapannya. Bila pulak aku nak bagi pelajar untuk mereka menjawabnya ?. Sudah pasti sebelum masa pengajaran hakiki di bilik darjah. Inovasiku berjalan lancar, aku mula merasakan aku begitu bermakna kepada pelajar-pelajar. Seminggu sekali, pelajar datang mangambil lembaran kerja. Aku mula nampak perubahan tahap pelajar-pelajarku. Suasana dalam kelas sudah berbeza. Pelajar begitu proaktif, masuk ke makmal dengan minda bukan sifar lagi, soalan-soalan yang aku ajukan kepada mereka begitu mudah dijawab. Aku juga boleh membetulkan kesilapan-kesilapan pelajar masa tu jugak. Modul pelajar menjadi nota biologi yang lengkap mana tidaknya sebelum aku ajar, mereka dah buat nota berpandukan soalan rangsangan yang aku bina manakala semasa pengajaran di bilik darjah mereka menokok tambah hasil perbincangan kami. Wah! Aku puas hati dengan kerja aku dan pelajar aku, kalau tidak selama ini, bila suruh buat nota mereka tiru bulat-bulat daripada buku rujukan tanpa mengekstrak dulu yang mana satu fakta penting atau bukan. Akhirnya fahamnya tidak , janji perintah guru siap!, ... kesian...n..n.

Haai... bahagianya menjadi guru..!. Lantas aku menamakan Modul Pakej Mesra berasaskan Guided Learning Approach ( Bimbingan Pelajar Belajar ). Bibit-bibit kemesraan mula menguntum antara aku dengan pelajarku. Apa yang aku suruh, pasti mereka buat. Kesannya memberangsangkan. Dalam pertandingan Kuiz Sains Nasional, anak-anak didikku diuji kepintaran mereka dalam bidang sains di mana aku kuarantin mereka sebelum bertanding. Hasilnya dapat meraih Naib Johan Zon Utara dikalahkan oleh Penang Free School. Sebagai Guru Pembimbing Projek Riadah Alam Sekitar ( PRIAS ) 1995, aku dijemput ke Wisma Sime Darby, K.L untuk menerima hadiah sebagai Johan pertandingan tersebut. Syukur alhamdullillah.

Tanggal 13 dan 14 Mei 1996, aku telah diminta oleh pihak JPN negeri Kelantan untuk membentangkan satu inovasi yang bertajuk ’ Penyediaan dan Pelaksanaan Modul Bimbingan Pelajar Belajar – GLA dalam P&P ’ kepada semua guru biologi negeri Kelantan. Aku berjaya mencuri tumpuan para peserta untuk menghayati pembentanganku. Aku tersenyum puas. Sekali kala gamat jugak Dewan Duyung Perdana Resort dengan ejekan GLA dengan ditambah dengan huruf i’ , jadi perkataan GiLA. Ya ! sememang begitulah – nak menghasilkan ’complete’ Modul Bio tingkatan 4 dan 5 bagi menambahbaik suasana pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Aku tidak peduli apa orang nak kata, segala penat lelahku ternyata berbaloi, dalam masa dua tahun aku dapat bereskan Modul Biologi dan Modul Sains Teras tingkatan 4 dan 5. Lebih membanggakan, ada guru sanggup bayar wang untuk mendapatkannya... tak payahlah, inovasi perlu dikongsi. ’ Roomate’ di rumah selalu menggelarkan aku sebagai Srikandi. Betulkah ?, entah!!! Rakan GC dan rakan lama boleh menjadi panel penilai aku !!!

Mendung mengarak kerjayaku, pabila tanggal 16 Jun 1998, tanpa diduga aku ditukarkan ke SMK. Mulong sebuah sekolah di pinggir bandar dengan pelajar yang pencapaian akademiknya sederhana. Hatiku bagaikan ditusuk sembilu, sedih bukan kerana terpaksa ke sekolah harian biasa tapi cara pertukaranku..biarlah detik itu menjadi kenangan pahit dan abadi buat diriku. Perasaan sedih merantai diriku, pesan terakhir Pengetua, En Wan Hamzah b Wan Daud sebelum aku bertukar. ” Pergi ke sana, lakukan sesuatu..buktikan keupayaan diri dengan kejayaan. Katanya aku ada kelebihan,benarkah? Entahlah.....

Di SMK Mulong (SMKM), sekali lagi cabaran menerjah diriku. Aku masih ingat bila nak mengajar tajuk meiosis, aku terangkan berulang-ulang baru faham tanpa disedari cecair peluh mengalir di lekuk tulang vertebraku. Seronok juga dapat pengalaman baru dari sekolah kawalan ke sekolah harian biasa. Di sini aku juga ingin menggegarkan jantung pengetua baruku... seorang ibu yang begitu lemah lembut tapi keras semangatnya. Kata-kata pertama dari Bonda Hjh Che Som bt Daud, hijrah aku ke SMKM perlu bermakna, jadi buatlah sesuatu selaras dengan kedatangan aku sebagai Guru Kanan Sains dan Matematik. Aku mengorak langkah bersama sokongan penuh guru-guru sains dan matematik serta staf sokongan makmal. Kepimpinan melalui teladan aku aplikasikan sehingga Makmal Sains SMKM dicanang tempat pertama negeri Kelantan dalam Pertandingan JUARA yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.

Sekali lagi aku diarahkan oleh pengetua menjalankan Kajian Tindakan. Mulanya bila menerima surat rasmi bertarikh 16 Ogos 1998, penghantaran kertas proposal kajian tindakan, aku KIV je, tapi ditegurnya, ” Dah buat ke tindakan susulan ?” Aduh! Berkejar aku mencari rakan guru yang pernah melaksanakan kajian tindakan. Nasib baik berpihak pada diriku kerana rakan setugas, cikgu Che Zawiah juga rakan sekolah sedia membantuku. Tanpa ditangguh lagi, aku adakan mesyuarat Jawatan Kuasa Kajian Tindakan untuk membincangkan pelaksanaan Kajian Tindakan di peringkat sekolah kami. Kami mengenalpasti kelemahan pelajar tingkatan lima dalam mata pelajaran biologi dan kimia adalah dari aspek kemahiran melukis graf dan rajah. Aku mula menyediakan proposal dan kami seiring melaksanakan tindakan susulan bagi merawat kelemahan tersebut. Sekali gus rawatan tersebut membantu meningkatkan prestasi calon SPM 1998. Pahit menempuhnya tapi kini kenangan manis pulak jadinya.

Hari demi hari, aku dapat rasai kehangatan kasih sayang, kuntuman keikhlasan dan ketekunan para warga SMKM. Pengetua makin erat denganku, kadang-kadang aku dapat merasakan aku dianggap sebagai adik beliau. Bagiku walau dengan siapa pun pengetua itu, aku tetap akur dengan perintah majikan. Aku tidak akan menentang arus, aku berfikir kalau aku berada di tempatnya aku pastinya juga inginkan anak buahku mengikut arahanku. Kalau tak setuju, datang berbincang.... mungkin juga. Tapi adakah aku mahu jadi pengetua?. Memang kawan-kawan kata , aku ada tokoh jadi pengetua, ada aura... apabila mereka tengok aku dapat menjalankan tugas sebagai GKSM dan Penyelaras PMR dengan cemerlang. Tapi bila campur tolak kali bahagi, rasanya aku sememangnya dilahirkan untuk menjadi seorang guru !!. Jiwaku...pendidik sejati...sampai bila-bila..

’Core-business’ aku sebagai guru mata pelajaran biologi aku laksanakan sebaik mungkin, post mortem peperiksaan dalaman dan luaran menunjukkan prestasi pelajar banyak dibantu oleh guru yang dedikasi. Modul yang dibina... aku gunakan untuk mereka sebagai satu kaedah bagi menjulang kejayaan di sini. Ya! Nampaknya usahaku menggunakan Modul Bio sebagai medium P&P ternyata cukup menjadi, tapi aku akan rasa tak puashati jika aku tak menulis kajian tindakan bagi membuktikan secara sistematik tindakan aku berkesan. Kertas Cadangan Kajian Tindakan aku dihantar ke EPRD ( Bahagian Perancangan dan Penyelidikan ). Lulus proposalnya, aku melaksanakan kajian, ’ Meningkatkan penguasaan fakta biologi menggunakan Modul GLA ’. Jujukannya aku dapat peruntukan terhadap kajian tu, pengetua memutuskan untuk membeli komputer bagi kegunaan sekolah. Ya aku bersetuju sebab semua keperluan aku semasa menjalankan kajian ditanggung oleh sekolah, Cuma aku menyumbangkan tenaga dan masa saja. Tersiratnya untuk keprofesionalisme aku jugak.

Beberapa tahun aku menggunakan modul P & P, aku perhatikan pelajar perempuan tiada masalah dalam menyiapkan modul tersebut tapi pelajar lelaki lain pulak ragamnya. Maka aku perlu mengubah suai modul atau mudahnya aku perlu membuat penambahbaikkan kandungan dan penyampaiannya, kata orang Jepun ’Kaizen’ atau pesan Saidina Omar, Jadikan hari ini lebih baik dari semalam. Ya ...aku amalkannya semata-mata untuk pelajar yang aku sayang... Motto kerja buatku tetapku genggam, ” Didiklah ... agar cemerlang akademiknya, gemilang akhlaknya ”.

Modul biologi versi baru untuk pelajar sederhana mula diperkenalkan. Konsepnya pelajar lebih terbimbing, lebih mudah disediakan oleh pelajar. Modul ini dipenuhi dengan carta alir, grafik, padanan, lengkapkan gambarajah ... yang secara tuntasnya menggalakkan pelajar ke arah pembelajaran yang aktif dan menyeronokkan. Walaupun aku banyak terlibat sebagai guru sumber biologi negeri Kelantan dan melaksanakan tugasan GK Sains dan Matematik, namun silibus biologi aku dapat tamatkan selewatnya bulan Julai setiap tahun, tempoh masa ulangkaji lebih panjang, macam-macam boleh buat untuk pemantapan konsep biologi dan teknik menjawab soalan bagi pelajar yang aku kasihi. Terima kasih buat rakan biologi yang membantu aku dalam penyediaan Modul ini.

Dalam kesibukanku menjalankan tugas rutinku, sekali lagi aku diberi tanggungjawab sebagai Penyelaras Projek Inovasi Sains. Tanggal 9.9.1999, SMK. Mulong dinobatkan sebagai Johan peringkat kebangsaan Inovasi Sains di SMS Tun Azlan Shah ( SERATAS ) – Keberkesanan Alocasia ovalifolia sebagai antiseptik dalam rawatan luka. Penulisan projek berdasarkan format penulisan kajian tindakan. Gempar ..pabila di dada akhbar Berita Harian 1 Nov 1999 terpampang foto kumpulan projek inovasi sains, aku bersama pelajar dengan Tn Hj Ghani bin Mat Ketua Unit Sains Matematik Negeri Kelantan. Sekolah kami berjaya mengharumkan nama Negeri Kelantan, tanah serendah sekebun bunga. Masihku ingat lagi tatkala rintangan datang bertalu-talu, aku terduduk, kalau dipejamkan mata ni, sememangnya air mata akan jatuh berlinang. Apa tidaknya, kelemasan nak bimbing buat kajian , nak ajar budak untuk pembentangan dan menulis lagi, nak uruskan pelajar ini ke USM Kubang Kerian untuk bantuan dan pengesahan dari badan atau agensi yang diiktiraf. Tetap segar di ingatan ini, malam pun masih berada di makmal biologi, pengetua pun datang menjenguk kerja buat kami, katanya,” dia tak boleh tolong, tak reti penyelidikan sains ni, tak pelah saya buatkan air teh untuk sama-sama minum”, Di hidangkan air teh pada kami, kata cikgu Zamri, cikgu ICT, ”Air teh DG2 ni kena minum sebab tak ada kat tempat lain ni ”. Deraian ketawa mengiringi suasana walau pun badan sudah keletihan membantu pelajar membuat persiapan akhir pertandingan. Sesungguhnya melatih pelajar yang sederhana pencapaiannya berbeza berbanding dengan pelajar yang cemerlang. Namun aku tetap bersabar. Sesungguhnya sabar membawa banyak kemenangan dalam kerjayaku.

Tanggal 4.4.2000 kumpulan pegawai PPK datang menilai aku untuk pertandingan Guru Inovatif kategori Individu. Berdebar jugak walau pun aku rasa dah bersedia ...Apa projeknya? Aku menggunakan kekuatan pada diriku iaitu modul GLA dan kekuatan SMKM yang mempunyai persekitaran yang ceria penuh dengan taman-taman botani. Maka lahir projek inovasiku- Bio~Eks : Eksploitasi Sumber Alam bagi meningkatkan pencapaian Biologi. Pada hari pembentangan projek inovasiku, keputusan SPM 1999 diumumkan, apalagi result SPM panas-panas aku hidangkan kepada panel hakim. Peningkatan cemerlang 1A dan 2A SPM biologi dari 4% ke 10.5% menyokong kuat projek aku. Selang seminggu keputusan diumumkan aku mendapat tempat ke dua dan anugerahnya aku terima pada sambutan Hari Guru 16 mei 2001 di Ipoh. Aku panjatkan kesyukuran padaNya.

Tahun berikutnya, satu awal pagi aku menerima panggilan telefon yang pihak Nazir negeri Kelantan, Tn Hj. Jayamara datang nak menilai aku. Tapi bukan untuk guru inovatif lagi tapi penilaian bagi calon Guru Cemerlang. Fail-fail kerja, Modul GLA ( cetak menjadi buku ) dan dokumen tugasan yang diamanatkan pada aku, aku serahkan pada pihak Nazir sebagai bahan sokongan. Dan aku jua ditemubual olehnya. Sekembalinya Nazir, aku berbisik pada diriku, jika ada rezekiku, dapatlah aku jadi Guru Cemerlang. Kalau tak dapat pun tak pe, mungkin rezekiku dalam bentuk lain. Syukur, tanggal ........ aku menerima surat pos laju dari Bahagian Sumber Manusia, aku ditawarkan ke jawatan Guru Cemerlang, DG 2 (KUP). Rezeki aku lagi, batch GC kali ini dijemput ke majlis Penyampaian Watikah Pengesahan, bangga, gembira, bahagia.... bercampur baur...lebih membahagiakan aku anugerah tersebut daripada Ybr, Dato’ Rafie Mahat, KPPM. Terima pulak dari tangan Dato’ Rafie Mahat... tokoh pendidikan negara!

Aku terpaksa melepaskan Jawatan Guru Kanan Sains dan Matematik, namun pengetua tetap mahukan aku terlibat dalam perancangan sekolah. Aku tidak keberatan kerana tugasan perancangan dan pentadbiran sekolah bertujuan untuk akademik pelajar. Apa salahnya aku turut berperanan lagipun aku pernah menjadi ketua panitia Sains, K.P Biologi mahupun GK Sains Matematik. Pun begituku masih lagi kekal memegang portfolio Penyelaras PMR. Tahun 2003, perancangan dan pelaksanaan program tingkatan tiga terencat dek ramai guru menengah rendah yang berpengalaman telah diserap ke sekolah rendah. Pening jugak aku dibuatnya akibat pertukaran ini ...... dan akhirnya cuti pertengahan tahun. Semasa dalam aku bercuti di Kampung ’roomate’ aku di K.P, aku pulak kena tukar. Tak pe lah... ” Pertukaran adalah perkara biasa ”. Itulah kata-kata bekas Pengarah Kelantan, Hj Zorkarnain 11 tahun dulu kepada aku semasa di SMK Dato’ Ahmad Maher.

Tinta sejarah terukir pada 1 Jun 2003 apabila tanpa ku duga, aku ditukarkan ke SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra setelah genap 4 tahun 9 bulan aku bertugas di SMKM. Perasaan sedih, terkejut bercampur baur bukan kerana ke sekolah budak pandai tapi pertukaran secara tiba-tiba....

Daun pintu bilik pengetua ku ketuk perlahan.... Aku memberi salam kepada pengetua di sekolah baru,aah..ah bertemu lagi pengetua lamaku di SMKDAM, En. Wan Hamzah yang kaya idea dan tetap bergaya. Hijrah aku dari sekolah harian ke sekolah berasrama penuh adalah untuk memperkasakan SBP. Tambah pengetua, ” Misi kita nak menghantar lebih ramai pelajar ke luar negara dan lebih ramai mengambil bidang perubatan” Ya ... aku akan cuba!!. Langkah pertama, aku mula membuat pemerhatian terhadap pelajar, guru biologi yang ada di situ dan program atau aktiviti peningkatan prestasi biologi SPM. Langkah seterusnya yang pasti modul Biologi digunakan oleh pelajar kelas yang aku ajar. Amalan kajian tindakan terus menjadi budaya aku walau aku berada di SBP. Sekali lagi aku melakukan penambahbaikan terhadap modul Biologi dengan menyisipkan terus soalan SPM lepas bagi mencabar minda pelajar dan terus melatih pelajar menjawab soalan SPM peringkat awal lagi bukannya di saat akhir. Aku mengaplikasi pelbagai teknik dan taktik untuk peningkatan prestasi Biologi, antara Bengkel Skor Esei Max, Bengkel K3 Skor 50, Skor K1- 50/50 dan Best : Konsep & Teknik Jawab.

Keputusan SPM 2004 diumumkan, pencapaian biologi SPM peringkat SBP mendapat tempat ke 4 kebangsaan. Rasanya berbaloi, aku menolak kursus PTK kerana aku mahu melihat hasil tuaian pertama aku di SMSTMFP. Kecemerlangan Biologi diulangi untuk tahun 2005, aku mengajar 4 kelas tingkatan 5 dari 7 kelas , pencapaiannya tempat ke 8 peringkat kebangsaan.

Pada awal 2003, aku menerima surat dari JNS Persekutuan meminta kami membuat Perancangan Jangka Pendek dan Jangka Panjang selama 5 tahun termasuklah menterjemahkan modul Pakej Mesra ke dalam Bahasa Inggeris selaras dengan dasar KPM iaitu PPSMI. Tahun 2006, mata pelajaran biologi diajarkan dalam bahasa Inggeris. Haai.. risau jugak selama ini mengajar dalam bahasa ibunda pun rasa tak cukup masa, inikan pulak dalam bahasa asing. Tak pe.. GC kena cuba!! Biar berjaya!!. Oleh itu pada November 2005 aku telah bermuafakat dengan 2 orang GC -Che Mat, Pah dan 7 orang guru Bio –Cg Ghazi, kak Nor, Odah, Na, Linda, Ana,Kak Dah untuk membereskan projek ini dengan target Modul kami itu boleh digunakan apabila sesi persekolahan 2006 dibuka.

Bio~Score itulah nama modul versi Bahasa Inggeris yang aku berikan, ahli lain bersetuju saja. Lantaran semangat dan keyakinan kuat dari WHWD, Modul kami tersebar ke seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak serta Labuan. Sesungguhnya ia adalah suatu usaha penambahbaikkan Modul Bimbingan Pelajar Belajar atau GLA (Guided Learning Approach). Modul ini ditulis berdasarkan Integrated Curriculum for Secondary School Biology Form 4. pastinya ia mengekalkan konsep GLA iaitu pembelajaran berlaku secara terbimbing dan terarah serta pelajar bersedia dengan pengetahuan sebelum proses pengajaran-pembelajaran berlaku di bilik darjah. Jelas-sejelasnya para pelajar akan belajar secara berterusan sama ada sebelum, semasa dan selepas proses pengajaran-pembelajaran hakiki di bilik darjah.

Kandungannya padat dan tepat !!!, ‘Learning Objectives’, Bio~Dictionary, Peta Konsep dan ‘Learning Outcomes’ . Malah penyediaan isi kandungan Bio~Score juga mengikut ‘Learning Outcomes’ yang telah ditetapkan oleh pihak Pusat Perkembangan Kurikulum. Ianya ditulis dengan ayat yang begitu mudah dan sistematik iaitu dari aras mudah kepada aras yang lebih sukar. Penyampaian fakta secara grafik, melengkapkan fakta biologi dan melukis gambarajah membangkitkan minat dan semangat pelajar dalam pencarian maklumat. Wah! Macam nak bersyarah pulak!!. Isi kandungan Modul ini wajib dikuasai oleh setiap pelajar dalam mata pelajaran Biologi. Walau camne pun, Modul ini masih memerlukan penambahbaikkan dari masa kesemasa. Aku tetap menerima kelemahan seorang bernama insan.

Pernah ketika aku memantau PEKA biologi SMK. Geting, Tumpat, cikgunya tak henti memuji usaha kami. Begitulah seadanya....harapan murni, ianya dapat membantu para guru dan pelajar dalam proses P&P kerana tahun 2006 merupakan tahun pertama mata pelajaran Biologi dalam Bahasa Inggeris. Jauh di dasar hati, kami berharap dengan penggunaan modul ini, silibus dapat ditamatkan lebih cepat serta sesi mengulangkaji dapat dijalankan dengan lebih sistematik. Ia dapat membantu guru dalam melaksanakan tugasan sebagai fasilitator di bilik darjah juga memberikan ruang kepada guru untuk mengaplikasi pelbagai kaedah pedagogi P-P. Manakala bagi pelajar pula dapat menggalakkan akses kendiri dan penglibatan diri dalam proses pembelajaran serta mudah menjalankan pembelajaran berkumpulan. Seterusnya suasana proses pengajaran Biologi lebih aktif dan bermakna. Eh..eh.. macam juru jual pulak aku!! Tak ada tokoh…, juru beli adalah kut!!

Syukur dalam usia begini, kesihatan aku masih O.K… dapatlah aku menyumbangkan perkhidmatan sebagai GC khusus kepada SMSTMFP atau PPDKB atau JPNK, SBP dan peringkat kebangsaan.

Dalam meniti liku-liku perjuangan, pelbagai onak dan duri telah ku tempuhi. Pun begitu aku masih ampuh meladeni segala halangan. Hari ini, aku telah berjaya menjadi seorang pendidik yang mampu merobah arus pemikiran anak-anak didikku. Aku puas dengan pencapaianku setakat ini…Azimat keramat dari 3 orang mantan pengetua ku pegang erat setiap saat… Penempatan pertama aku di SABS Kuantan (1986-1991) dengan pelajar pelbagai kaum dan pelbagai pencapaian. Aku masih ingat kata-kata yang ditulis oleh Pengetua Tengku Adnan pada kad untuk diberikan pada setiap guru sebelum persaraan beliau. Tulisannya untukku berbunyi…, “ Cikgu, Senyuman cikgu menjadi kebanggaan anak murid cikgu. Senyuman cikgu jugak membakar semangat anak murid cikgu. Senyumlah selalu untuk anak-anak murid cikgu “. Penempatan kedua aku di sekolah bandar kawalan, SMKDAM, kata Pengetuanya- WHWD jua mentorku,” Lihatlah pada diri sendiri, sebenarnya ada kekuatan yang orang lain tak tahu…., penempatan ke tiga di sekolah harian pinggir Bandar, Hjh Che Som selalu kata ‘Nah, ingatlah di kala berkawan, tak semua orang di sekeliling kita hatinya macam kita, waspada selalu..’. Dan penempatan ke 4 ke SMSTMFP yang begitu banyak kenangan buatku, apa dia? Lain masa aku akan menulis…. Sanggup kau tunggu atau bisa menulis lagikah aku? .

Nampaknya pelbagai pengalaman telah aku rasai, bertuahnya aku dengan kombinasi ini bagi meraikan genap perkhidmatan aku selama 23 tahun pada tahun ini. Masa berlalu dengan pantas……kenangan pahit pada Mei 1998 walaupun dah 11 tahun berlalu masih tetap aku tak lupa, tapi rupa-rupa Allah s.w.t ingin menguji ku, mematangkan aku..... Ya! manis anugerahMu kerana sekarang aku bergelar GC DG 52. Sesungguhnya terima kasih buat semua sahabat-sahabat & WHWD yang membantu aku…dan ibuku, Hjh Che Hazizah bt Yusof yang telah pergi buat selama-lamanya pada tanggal 29 Feb 2008 di kala aku sedang bertungkus lumus membuat persediaan pencerapan Nazir untuk DG 52 aku.

Airmata tetapkan berlinang walau ku tahan….mengenang itu semua.., rupanya..itu kurniaMu untukku di dunia ini. Selepas ini ke mana ya ? hanya Allah s.w.t saja yang mengetahuinya….

9 comments:

  1. ucapan serimbun tahniah..sikit poem yg ntah hapa2..

    No end to success

    Success is not the triumph over regress,
    Success is the power to suppress.
    Success is not the money or the fame,
    Success is, knowing you are still the same.
    Success is not the power or the pride.
    Success is the knowing how to hide.
    Success is not a gift or gain,
    Success is accepting and believing in your name.
    Success is not a point or goal to seek,
    Success is, believing you have never reached the peak.

    ReplyDelete
  2. Membaca coretan kenangan dan pengalaman cikgu membuatkan saya jadi kagum dengan kegigihan dan kejayaan demi kejayaan yang cikgu perolehi. Terdetik bangga rasa di hati seandainya cikgu sudi menjadi mentor saya selepas ini. Salam dari negeri jelapang padi.

    ReplyDelete
  3. Salam Kak Mazinah.. dalam melayari internet, tiba2 je jumpa blog kak mazinah ni... dah tak ada PTK ni jaranglah kita dapat bertemu ya.. jangan lupa link blog saya.. http://cikguza.blogspot.com atau http://bmstpm.blogspot.com

    ReplyDelete
  4. Askum...

    Macam mana nak contact cikgu

    Dari
    nizam@cikgu2u.com

    ReplyDelete
  5. inilah cikgu mazinah muda yang saya kenal. semuanya untul pelajarnya. inilah salah seorang dari barisan guru smdam (spm94)dihormati pelajarnya lebih dr seorang guru. (Tapi bio saya tak cun la , tak mencapai target)...1994. tahun yang paling seronok..

    ReplyDelete
  6. wow..i was impressed..
    dunno pn mazinah is really fantastic..
    hope..u'll keep it n if possible could u write bout ur story at smstmfp..huhu

    ReplyDelete
  7. Luk 7,
    boleh contact cg. 013-923611

    ReplyDelete
  8. cikgu mazinah, cerpen cikgu begitu dkt dgn sy. pertukaran cikgu dr smkdam ke smkm begitu menyedihkan pelajar2 cikgu. keceriaan dan mood blajar diragut dr setiap pelajar cikgu. cara pertukaran cikgu meniti d setiap bibir pelajar cikgu. bagaimana sy tahu semua ini. kerana sy sendiri slh seorang pelajar cikgu pada masa itu.

    ReplyDelete